Gajah liar timbulkan kebimbangan penduduk ditangkap, dipindahkan - Utusan Malaysia

Gajah liar timbulkan kebimbangan penduduk ditangkap, dipindahkan

GAJAH denak, Abot dan Rambai digunakan dalam proses pemindahan gajah liar yang ditangkap di RPS Legap di Lintang, Sungai Siput hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seekor gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk dan merosakkan tanaman di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap di sini, akhirnya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Gajah jantan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan anggaran berat 1.8 tan itu ditangkap dalam operasi pada Khamis lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, mamalia yang diberi nama ‘Aga Legap’ itu ditangkap susulan aduan yang diterima sejak Disember lalu berkaitan gangguan oleh gajah liar tersebut.

Katanya, gajah berkenaan dipercayai daripada kumpulan gajah (ID) Piah dari hutan simpan berhampiran.

“Berdasarkan aduan, gajah liar ini mengganggu kebun dan menyebabkan penduduk berasa takut terutama pada sebelah malam.

“Tangkapan terhadap gajah ini mengambil sedikit masa sebab kita menunggu waktu yang sesuai kerana bulan lepas kita menerima banyak aduan berkaitan harimau belang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi bermula pukul 8 pagi itu, dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi tujuan memujuk gajah liar tersebut untuk proses pemindahan.

Katanya, Aga Legap kemudiannya akan dilepaskan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Belum.

“Pada bulan lepas, kita ada terima 12 aduan berkaitan gajah di mana aduan tertinggi diterima di Gerik. Jika aduan di Sungai Siput, kebanyakannya di Pos Perwor dan Lintang.

“Sebelum ini, kita banyak bertindak dengan cara menghalau haiwan itu agar masuk semula ke habitat asal manakala tangkapan pula dilakukan berdasarkan kesesuaian,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Yusoff berkata, tiada aduan baharu diterima berkaitan harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di
kawasan Kampung Kuala Kenering dekat Lenggong.

“Langkah awal telah diambil dengan memasang perangkap. Dakwaan mengatakan harimau itu sudah sebulan berkeliaran adalah tidak berasas.

“Berikutan tiada aduan baharu, kita berharap haiwan pemangsa berkenaan sudah kembali ke Hutan Simpan Papulut yang terletak satu kilometer sahaja dari kawasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya