Fosil siput laut berusia jutaan tahun dijumpai di Perak - Utusan Malaysia

Fosil siput laut berusia jutaan tahun dijumpai di Perak

SITI NAJWA Mokhtar menunjukkan fosil siput laut yang ditemukan di Kampung Changkat Tualang, Kampar hari ini. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Penemuan fosil siput laut yang dianggarkan berusia jutaan tahun di Kampung Changkat Tualang di sini dijangka mampu menjadi aset terbaru pelancongan di negeri ini.

Malah, kawasan bekas lombong seluas 6.9 hektar yang terletak dalam jajaran Geopark Lembah Kinta itu sebelum ini terkenal sebagai kawasan untuk aktiviti berkayak, penanaman jagung skala besar dan batuan kapur dalam kuantiti yang banyak.

Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT), Siti Najwa Mokhtar, 39, berkata, pada mulanya mereka menerokai kawasan itu kerana tarikan aktiviti berkayak dan bird watching dengan kerjasama dengan penduduk kampung.

“Namun, kami mendapati batu-batu kapur yang terdapat di sini seakan-akan mempunyai fosil-fosil hidupan laut purba.

“Situasi itu menyebabkan kami melakukan rujukan jurnal lama dan termasuk menyelidiki rekod pengkaji lama sebelum ini.

“Hasilnya kami berjaya menemukan lebih tiga atau empat jenis fosil daripada kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan satu lagi fosil karang.

“Dua minggu lalu, Penasihat Pakar Geopark Lembah Kinta, Prof Emeritus Dr Mohd Shafeea Leman dan pengkaji fosil dan geologi tempatan telah hadir ke sini untuk membuat penyelidikan dan mengesahkan penemuan fosil itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kampung itu mempunyai kira-kira 1,000 penduduk.

Dalam pada itu, Siti Najwa berkata, fosil-fosil itu ialah hidupan laut kuno zaman paleozoik yang wujud sebelum reptilia purba dinosour lagi.

“Kawasan ini mungkin merupakan lautan jutaan tahun dahulu tetapi mengalami proses pembentukan muka bumi menjadi daratan,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Azuwa Sharom berkata, penemuan fosil purba itu amat mengejutkan penduduk kampung dan berharap akan menjadi tarikan terbaharu di kampung itu.

“Saya berharap kawasan dapat diwartakan dan menjadi kawasan pelancongan tetapi terpelihara supaya tidak berlakunya pencemaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN