KAMPAR: Fosil hidupan laut purba Kampung Changkat Tualang di sini yang berusia sekitar 250 hingga 300 juta tahun tidak akan ‘diusik’ sebagai salah satu langkah pro-aktif memelihara khazanah alam bernilai tinggi itu.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, proses pemetaan kawasan itu akan segera dilakukan supaya terus terpelihara dan menjadi salah satu lokasi jajaran Geopark Lembah Kinta.
“Sama ada sampel fosil ini akan dibawa keluar atau tidak, itu bergantung kepada sampel di lapangan. Kalau kita tak boleh nak ambil, kita akan kekalkan.
“Pada pandangan kami, lebih baik dikekalkan supaya sesiapa pun datang ke sini melihat dan boleh juga menjadi salah satu bahan tarikan orang luar atau pelancong datang ke tempat ini selain untuk faedah komuniti di tempat ini.
“Kita akan cuba kekalkan di sini tetapi apabila dikekalkan perlu ada elemen pemuliharaan supaya kekal di situ berada dalam tempoh yang lebih lama kerana jika dibiarkan dalam keadaan sekarang, ia akan terdedah kepada luluhawa dan sebagainya.
“Jadi sampel fosil itu akan rosak selepas beberapa tahun mungkin disebabkan cuaca hujan panas, ia akan reput dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sinihari ini.
Media sebelum ini melaporkan penemuan fosil siput laut dan fosil hidupan laut purba lain yang dianggarkan berusia sekitar 300 juta tahun di Kampung Changkat Tualang.
Malah, kawasan bekas lombong seluas 6.9 hektar yang terletak dalam jajaran Geopark Lembah Kinta itu sebelum ini terkenal sebagai kawasan untuk aktiviti berkayak, penanaman jagung skala besar dan batuan kapur dalam kuantiti yang banyak.
Penasihat Pakar Geopark Lembah Kinta, Prof Emeritus Dr. Mohd. Shafeea Leman dan pengkaji fosil dan geologi tempatan telah mengesahkan penemuan dan keaslian fosil-fosil tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizarulikram berkata, pihaknya akan membina tempat teduhan bagi menjaga keaslian fosil itu.
“Fosil di kampung ini berbeza kerana merupakan fosil berkaitan marin kerana yang sedia ada di gua-gua batu kapur di Geopark Lembah Kinta merupakan fosil daratan haiwan seperti harimau.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kampar, Majlis Daerah Kampar serta polis untuk memastikan kawasan berkenaan dilindungi.
“Kita memerlukan kerjasama yang erat daripada pihak komuniti yang berada paling dekat dengan kawasan ini selain polis juga kerana yang paling kita risaukan mereka yang tidak bertanggungjawab akan merosakkan sampel fosil yang sangat berharga ini,” katanya. – UTUSAN