KUALA LUMPUR: Pelakon, Aidil Aziz, 36, berharap netizen tidak menjadikan babak-babak ‘suami isteri’ yang dilakonkan isterinya, Fasha Sandha dalam drama Rampas Cintaku 2 sebagai isu yang perlu diperbesarkan.
Kata Aidil, dia percaya Fasha hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan memberikan yang terbaik untuk menghidupkan watak Datin Safieya dalam drama tersebut.
“Tiada isu sebenarnya. Apa yang ditonton orang adalah watak Datin Safieya, bukan Fasha Sandha.
“Sebagai pelakon, saya memahami tanggungjawab Fasha untuk menghidupkan watak tersebut. Bahkan, dia kena beri kerjasama dengan pelakon lain untuk menjayakan babak dalam drama itu.
“Di set penggambaran, dia adalah watak yang dilakonkannya. Habis kerja, dia adalah isteri saya. Dalam bekerja, kami kena profesional. Setiap watak yang dipertanggungjawabkan kepada kami adalah satu amanah,” katanya pada sidang media Rampas Cintaku 2 baru-baru ini.
Drama arahan Ejump Mohd itu dibarisi pelakon handalan seperti Erra Fazira, Zamarul Hisham, Afieq Shazwan, Keith Foo, Puteri Balqis dan ramai lagi.
Aidil dalam pada itu berlapang dada sekiranya dilabel dayus atau dikecam netizen kerana membiarkan isterinya melakonkan babak yang dianggap kurang sesuai dijayakan pelakon wanita berstatus isteri orang.
Jelasnya, dia memberi kebebasan kepada audiens untuk menilai lakonan Fasha dalam drama tersebut dan berharap penonton bersikap terbuka serta mengambil positif mesej yang disampaikan menerusi Rampas Cintaku 2.
“Setiap pelakon pasti akan berdepan reaksi positif dan negatif gara-gara lakonan mereka dalam sesebuah filem atau drama. Sebagai anak wayang, kami tahu apa yang kami lakukan.
“Terpulang kepada penonton untuk menilai. Kalau mereka mencari yang negatif, yang mereka dapat juga negatif. Begitu juga sebaliknya. Cuma saya harap penonton ambil pengajaran dan iktibar yang ada dalam cerita ini.
“Saya dan Fasha terima pelbagai kecaman sejak Rampas Cintaku lagi. Dalam drama itu saya bawa watak gigolo. Kami memang tak boleh tutup mulut orang. Hanya mampu terima apa yang diperkatakan umum,” jelasnya.