KUALA LUMPUR: Memasuki usia 57 tahun, pelakon, Faizal Hussein mengakui tidak pernah bersenam di gim seumur hidup sebaliknya hanya melakukan riadah menggunakan dumbel di rumah.
Faizal akan mengangkat dumbel sebanyak 100 hingga 300 kali setiap hari, sebagai persediaan jika ada babak yang memerlukannya melakukan aksi sendiri.
“Jika ada projek yang memerlukan saya bergaduh dengan lapan orang penjahat contohnya, saya akan lakukan senaman sebagai persediaan untuk kekal fit.
“Saya tidak pernah pergi gim seumur hidup, hanya angkat dumbel sahaja. Pernah juga makan suplimen jika mahu tambah otot namun tapi tidak pernah diet,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ditanya apakah rahsia agar aktor itu kekal cergas pada usia sekarang, Anak bongsu pasangan pelakon era 1960-an, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail itu sangat menjaga kuantiti nasi yang dimakan.
“Cara kekal sihat ialah saya tidak akan menambah nasi selepas makan. Dulu waktu baru kahwin, isteri merajuk juga sebab saya tak tambah nasi, lama-kelamaan dia tahu suaminya memang begitu.
“Kadangkala dia nak tengok saya makan banyak, jadi dia sengaja letak nasi banyak-banyak depan ibu mentua terpaksalah saya habiskan.
“Itulah yang saya amalkan untuk lawan nafsu,” katanya.
Bersyukur masih diberi peluang melakonkan aksi sendiri, namun Faizal mengingatkan pelakon di luar sana untuk mengetahui kemampuan mereka masing-masing.
“Bersyukur pada usia begini saya diberi peluang membawakan watak yang susah. Sejujurnya saya lebih gembira melakonkan babak aksi sendiri walaupun pihak produksi menasihati guna pelakon lagak ngeri.
“Pelakon kena tahu tahap kemampuan diri mereka. Sebelum ini saya pernah melakonkan babak aksi yang lebih susah dan mencabar berbanding drama W: Two Worlds.
“Hanya cedera ringan sahaja iaitu kuku kaki saya menjadi hitam akibat terlalu lama berlawan. Nanti sembuhlah baik,” tambahnya.
Memasuki tahun 2024, Faizal bakal tampil sebagai watak utama dalam naskhah drama bersiri seram bersama Astro Citra tentang seseorang yang mati hidup kembali. Dijangkakan, naskhah tersebut akan menemui penonton pada tahun ini.