PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri terpaksa merehatkan diri daripada sebarang aktiviti nyanyian bagi memberi masa untuk suaranya pulih semula selepas terjejas sejak bulan lalu.
Penyanyi Boneka itu berkata, suaranya mula terjejas selepas persembahan bertenaganya di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) isember lalu ketika menyanyikan lagu Astana.
“Sejujurnya, ini adalah keadaan yang saya perlu tempuh sejak beberapa hari lalu. Suara saya sudah ‘hilang’ pada hari SFMM38 dan kini dalam proses pemulihan.
“Saya sebenarnya perlu rehatkan suara betul-betul tetapi terlalu banyak komitmen serta persembahan yang perlu diselesaikan,” katanya menerusi Instagram semalam.
Dalam pada itu, penyanyi bersuara emas itu turut memohon doa orang ramai untuk kesihatan dirinya bertambah baik dan dapat memulihkan suara yang terjejas.
“Semoga Allah SWT izinkan dan permudahkan. Terima kasih kepada yang mendoakan.
“Ada juga yang sedar suara saya tidak sihat. Insya-Allah akan rehat sebentar, minggu ini kurang menyanyi. Doakan ya,” kongsinya.
Erni atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri turut berkongsi gambar dia menyedut nebulizer dalam hantaran sama.
Penyanyi itu juga bakal mempetaruhkan lagu Astana di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 yang bakal berlangsung pada 3 Mac depan.-UTUSAN