ISTANBUL: Puluhan ribu rakyat Turkiye berarak di ibu kota negara itu untuk memprotes perang Israel di Gaza serta pembunuhan tentera Turkiye oleh tentera Kurdish yang diharamkan di Iraq.
Perhimpunan itu yang dianjurkan oleh sebuah yayasan yang dinaungi Bilal Erdogan, anak kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bermula selepas para peserta menunaikan solat subuh di masjid-masjid ikonik Istanbul, termasuk Hagia Sophia dan Masjid Biru.
Peserta dilaporkan mengibarkan bendera Turkiye dan Palestin selain berhimpun ke Jambatan Galata di Selat Bosphorus sambil melaungkan: “Pembunuh Israel, keluarlah dari Palestin” dan “Allahu Akbar”.
Agensi berita rasmi Anadolu melaporkan, berpuluh ribu rakyat menyertai perhimpunan ‘Mercy for our martryrs and a laknat on Israel’.
Erdogan, penyokong lantang perjuangan Palestin mengecam Israel berulang kali berhubung kematian dan kemusnahan yang disebabkan oleh tindak balasnya terhadap serangan rentas sempadan 7 Oktober lalu.
Beliau menuduh Israel sebagai ‘negara keganasan’ dan berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak berbeza dengan Adolf Hitler.
Perang hampir tiga bulan di Gaza itu dikatakan dicetuskan oleh serangan berdarah Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel yang membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Menurut pegawai Israel, kira-kira 250 orang dijadikan tebusan yang kebanyakannya kekal di Gaza.
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas dengan melancarkan serangan menghukum di Semenanjung Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 21,822 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.
Tentera Israel berkata, 172 daripada tenteranya telah terbunuh di Gaza dengan perang tidak menunjukkan tanda-tanda berhenti.
Tentera Turkiye berkata, 12 tenteranya terbunuh pada akhir Disember lalu dalam dua serangan berasingan yang dilancarkan oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq.
Turki kerap menjalankan operasi darat dan udara di utara Iraq terhadap kedudukan PKK, yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Baratnya.-AFP