ALOR SETAR: Enam lelaki didenda antara RM5,000 hingga RM20,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi melakukan penipuan dalam mengurangkan duti kereta mewah di Langkawi.
Tiga lagi individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini iaitu Yeoh Ee Tat, 56; Mohd. Haiqal Mohd. Sebrie, 33, dan Teh Wei Li, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hakim Rohatul Akmar turut menjatuhkan hukuman terhadap Mohd. Noh Hussain, 47; Mohd. Khairol Suberi, 35, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, yang terlebih dahulu dihadapkan ke mahkamah semalam.
Mengikut pertuduhan, Ee Tat yang juga pemilik syarikat kenderaan import didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu Surat Akuan bertarikh 26 Ogos 2018 apabila memasukkan Teong Teck Leong sebagai pemastautin di Langkawi bagi membeli kereta jenis Bentley Bentayga.
Tertuduh juga didakwa menggunakan dokumen palsu Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport pada 1 Disember 2021 menyebabkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenakan bayaran duti sebanyak RM422,461.27 ke atas kenderaan mewah yang mahu dibawa keluar dari Langkawi.
Mohd. Haiqal yang bekerja sebagai ‘runner’ syarikat kenderaan import pula didakwa menggunakan borang perisytiharan tersebut bagi urusan penilaian kereta Ferrari 458 Speciale milik Soh Weng Thiam dan McLaren 650S milik Loke Yoon Mink.
Berikutan pengisyhtiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti sebanyak RM299,614.20 ke atas kereta Ferrari dan RM357,393.55 ke atas McLaren untuk dibawa keluar dari Langkawi, tiga tahun lalu.
Seorang lagi tertuduh, Wei Li yang juga bekerja sebagai ‘runner’ sebuah syarikat lain turut didakwa dengan curang menggunakan borang tersebut bagi urusan penilaian kereta Porsche 911 GT2 RS milik Mubarak Hussain Akhtar Husin.
Disebabkan pemilik itu dikatakan sebagai pemastautin di Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti sebanyak RM598,442 ke atas kenderaan mewah terbabit bagi dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Rohatul Akmar menetapkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang kepada Ee Tat; Mohd. Haiqal dan Wei Li, serta dipenjarakan selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mohd. Noh pula didenda RM20,000 dan penjara 12 bulan jika gagal membayar manakala denda RM10,000 dan RM5,000 masing-masing kepada Mohd. Khairol dan Fairul Ismazi beserta penjara sembilan dan tujuh bulan jika gagal menjelaskan bayaran itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Mohd. Afif Ali, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hakim Hamran.
Kesemua tertuduh kemudian membayar denda masing-masing di kaunter bayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar. -UTUSAN