Empat 'port' dadah digempur, 45 penagih dicekup - Utusan Malaysia

Empat ‘port’ dadah digempur, 45 penagih dicekup

Dadah
ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam operasi itu dekat Taman Sentosa, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Empat ‘port’ atau sarang penagihan dadah yang bergiat aktif antara sebulan hingga lima tahun lalu digempur polis di sekitar daerah ini, hari ini.

Lokasi itu turut meliputi kawasan tanah lot kosong dan bawah jambatan yang menjadi tumpuan penagih tegar heroin, syabu serta ganja.

Serbuan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi itu membawa kepada penahanan seramai 45 lelaki berusia 25 hingga 75 tahun termasuk bekas penjawat awam.

Operasi lebih tiga jam itu dijalankan sepasukan 152 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Klang Utara.

Penolong Pengarah (Pencegahan) Judi dan Maksiat D7 JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah yang antaranya bergiat aktif sejak sekian lama.

Jelas beliau, semua lokasi yang digempur secara serentak itu melibatkan kawasan Taman Sentosa, Pelabuhan Klang, Taman Eng Ann dan Taman Bukit Kuda.

“Ketika serbuan, rata-rata individu itu mahu menagih dadah di lokasi berkenaan dan gagal melarikan diri selepas dikepung polis.

“Ada daripada mereka turut cuba menyorok di sebalik semak namun berjaya dihidu dan ditahan bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pada operasi itu petang ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tokan dadah turut menyediakan papan tanda jenis jualan dadah di tanah lot kosong di Taman Sentosa yang dikelilingi semak samun.

Papan tanda itu mempamerkan perkataan ‘Ubat’ iaitu heroin, ‘Batu’ (syabu) dan ‘Daun’ (ganja).

Tambah Muhammad Riduan, semua tangkapan dibawa ke IPD Klang Selatan dan Klang Utara bagi tindakan lanjut termasuk saringan air kencing.

“Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Operasi menyasarkan port seumpama itu akan terus dipergiatkan terutama yang turut pernah diserbu sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya