KUALA LUMPUR: Empat anggota polis ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pemerasan membabitkan peniaga air ketum di Taman Desa Gombak, di sini, November lalu.
Menurut sumber, mangsa yang merupakan peniaga kedai makan dan rakannya didatangi empat lelaki tempatan mengakui sebagai pegawai kanan polis sebelum memeriksa rumahnya.
Katanya, anggota tersebut kemudian menemukan 20 bungkus minuman dipercayai air ketum di dalam rumahnya.
“Anggota berkenaan turut meminta bayaran RM10,000 atau tindakan diambil terhadapnya.
“Anggota tersebut dipercayai ugut untuk dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sekiranya enggan membayar RM10,000. Mangsa kemudian berunding untuk hanya membayar RM5,000.
“Ekoran itu, suspek meminta rakan mangsa mengeluarkan duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.
Selesai menerima wang tersebut, sumber memaklumkan, anggota terbabit turut berbincang dengan mangsa untuk berniaga air ketum dengan jaminannya.
“Beberapa hari kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa untuk meminta wang RM1,000 sebagai cagaran bulanan,” ujarnya.
Menurut sumber, mangsa berasakan dirinya ditipu oleh suspek sebelum ke balai polis membuat laporan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, keempat-empat suspek terdiri daripada anggota polis itu ditahan pada 19 Januari lalu bagi membantu siasatan.
“Sudah ditangkap semua (empat suspek) dan tempoh reman telah tamat tiga hari. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan tahan kerja terhadap empat anggota yang bertugas di daerah di Selangor masih dalam proses.
“Siasatan dalaman akan selari dengan dengan tangkapan yang dibuat. Empat anggota ini diproses untuk tahan kerja,” katanya. – UTUSAN