LENGGONG: Empat ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Chepor di sini, ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tiga ekor gajah ditangkap pada Jumaat lalu manakala seekor lagi pada Isnin lepas.
“Kita menerima laporan berhubung kehadiran mamalia itu sejak dua bulan lalu apabila ada penduduk mendakwa kebun mereka dimasuki gajah dan tanaman musnah.
“Sehubungan itu, pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan sebelum menangkap dua ekor gajah jantan dan dua ekor gajah betina baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chepor, semalam.
Menurut Yusoff, seekor gajah jantan diberi nama Yob Napi dianggarkan berusia 35 tahun dengan anggaran berat tiga tan metrik akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum.
Beliau berkata, Yop Napi dipindahkan bersama seekor gajah betina dinamakan Yong Hani berusia lingkungan 50 tahun dengan anggaran berat dua tan metrik.
“Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk dan menarik gajah liar berkenaan kira-kira satu kilometer naik ke atas lori.
“Operasi memindahkan dua ekor gajah lagi dijalankan Sabtu ini kerana kita tidak mahu gajah denak terlalu letih dan tertekan ketika operasi dijalankan,” katanya.
Katanya, empat ekor gajah yang ditangkap itu adalah kumpulan gajah (ID) Piah sebanyak 27 ekor yang berpecah dua dan memasuki kawasan kampung.
“Jika ikut kiraan, terdapat kira-kira 27 ekor gajah dan berpecah kepada dua kumpulan di mana 13 ke 14 ekor gajah bagi setiap kumpulan.
“Kawanan gajah lain telah pun dihalau semula masuk ke dalam Hutan Simpan Piah, sekiranya haiwan itu keluar semula dan masuk ke kawasan kampung, kita akan ambil tindakan tangkap,” katanya. – UTUSAN