KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ara Johari, 26 memaklumkan dia perlu sentiasa mengelak daripada terkena hujan bagi memastikan kesihatan badan, terutama suaranya tidak terjejas.
Malah kata Ara, perkara itu harus dia utamakan lebih-lebih lagi selepas sering mengalami masalah suara kronik sejak dua tahun lalu.
“Suara saya belum pulih sepenuhnya dan mudah hilang kalau kesihatan saya tidak dijaga dengan baik. Ia berlaku ketika saya membuat persembahan di pentas Muzik Muzik 38 dan sebuah konsert di Kuantan baru-baru ini.
“Saya tidak boleh kena hujan. Jika terkena, saya harus cepat-cepat mandi dan berehat. Sekiranya dibiarkan, saya akan selesema dan hilang suara.
“Keadaan itu membuatkan saya tidak boleh menyanyi selama berminggu-minggu,” katanya semasa sidang media Pesta Muzik Kuantan semalam.
Naib juara Anugerah Juara Lagu ke-33 itu mengakui, masalah kesihatan membuatkan motivasinya sedikit terganggu.
Namun penyanyi bersuara lantang ini bersyukur kerana sehingga kini dia masih mampu memberi yang terbaik setiap kali memenuhi undangan membuat persembahan.
“Saya budak kampung yang sejak kecil suka bermain hujan. Jadi motivasi saya sedikit terganggu lebih-lebih lagi dalam keadaan saya sekarang yang mudah sakit kalau terkena hujan.
“Namun Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi batalkan mana-mana persembahan walaupun sakit.
“Rezeki saya juga, apabila tiap kali sakit tekak, saya masih mampu menyanyi nada tinggi dan beri persembahan terbaik meskipun dalam keadaan suara saya yang kedengaran sedikit kasar,” katanya lagi.
Selain mengelak hujan, doktor turut menasihati Ara untuk tidak makan makanan pedas dan minuman berais.
Ara bakal tampil di Pesta Muzik Kuantan yang bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur, 24 Februari nanti. Antara artis yang bakal memeriahkan majlis tersebut ialah Nabila Razali, Naim Daniel, Khai Bahar dan kumpulan terkenal, Ungu.