PETALING JAYA: Elak dibolosi pada babak pertama antara perancangan yang mampu memberi skuad Harimau Malaya keputusan positif menjelang aksi berdepan Korea Selatan bagi perlawanan terakhir Kumpulan E hari ini.
Perkara itu dikongsi bekas jurulatih Bawah 23 tahun negara yang juga pernah mengendali pasukan Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.
Jelasnya, apabila berdepan mana-mana pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi, kegagalan untuk mendapat gol awal akan memberi mereka tekanan dan peluang itu mungkin boleh dimanfaatkan oleh Harimau Malaya.
Begitupun, secara realistik kelebihan tentunya lebih berpihak kepada Korea Selatan yang miliki jurang perbezaan ranking hampir 107 anak tangga iaitu di ranking 23 dunia berbanding Malaysia 130.
“Korea Selatan merupakan pasukan pilihan, bukan saya kata… kita tidak boleh menewaskan mereka tetapi secara realistik atau atas kertas sudah tentu mereka mempunyai kelebihan yang besar (pemain-pemain beraksi di Eropah).
“Tetapi jika semua pemain memberi komitmen 100 peratus, sentiasa ingin perbaiki diri sendiri dan mengikut arahan jurulatih serta diikuti dengan semangat juang yang tinggi kita boleh capai keputusan positif.
“Kita tak perlu menghormati Korea Selatan seperti mereka ini sukar dikalahkan kita harus mempunyai sikap positif dan kepercayaan, kalau kita mampu mengekalkan kedudukan pada separuh masa pertama tanpa jaringan (dibolosi), kita akan mempunyai peluang (raih keputusan positif),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kim Swee dan anak buahnya pada Sukan Asia 2018 mencipta sensasi dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dengan kedua-dua gol dihasilkan pada babak pertama.
Beberapa pemain Korea Selatan yang beraksi di Sukan Asia 2018 ketika itu antara Kim Min Jae, Song Bumkeun Hwang In-beom, Son Heung-min, Hwang Hee-chan dan beberapa pemain turut berada bersama skuad senior di Piala Asia 2023.
Kekalahan itu tentunya diingati mereka yang menyaksikan Safawi Rasid meledak dua gol dalam perlawanan itu.
“Pertama kita kena faham itu kejohanan peringkat umur di Sukan Asia 2018 dan ini merupakan kejohanan yang paling prestij di peringkat Asia dalam kategori senior tetapi tiada perbezaan ketara kerana pemain sama beraksi.
“Dalam skuad negara ketika ini, kita ada juga pemain yang pernah menang ke atas Korea Selatan antaranya Safawi, Akhyar (Rashid), Dominic (Tan) dan sebagainya. Mereka buktikan mampu menewaskan Korea Selatan ketika itu,” ujarnya Kim Swee.
Malaysia akan turun menentang Korea Selatan tanpa sebarang tekanan selepas telah tersingkir daripada persaingan Piala Asia susulan dua kekalahan berturut-turut di Kumpulan E namun skuad kendalian Jurgen Klinsmann membawa misi mencari gol sebanyak mungkin bagi memastikan mereka mara sebagai juara kumpulan ke peringkat seterusnya.
Mengikut senarai 26 pemain Korea Selatan yang di bawa ke Piala Asia di Doha, Qatar, seramai 12 tonggak adalah pemain yang beraksi di Eropah.
Majoriti kelompok pemain berkenaan bermain bersama kelab-kelab utama di liga terbaik dunia seperti di Liga Perdana Inggeris di England, Bundesliga di Jerman, Ligue 1 di Perancis dan Jupiler Pro League di Belgium. – UTUSAN