ecuaian kontraktor menjadi punca berlakunya insiden kren tumbang

Nak senangkan kerja, kamu mungkin risikokan nyawa – Anthony Loke

ANTHONY Loke menunjukkan hasil siasatan insiden kren tumbang di Stesen KTMB Rawang di kementeriannya di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kontraktor yang terlibat dengan mana-mana projek pembinaan berhampiran atau bersebelahan landasan kereta api diingatkan supaya tidak memandang remeh tentang isu keselamatan.

Teguran itu dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkait dengan insiden kren pembinaan projek parkir bertingkat yang tumbang di atas landasan kereta api di Rawang, Selangor pada 12 Disember lalu.

“Ini merupakan satu insiden yang sangat serius dan laporan lengkap dibentangkan di dalam mesyuarat pasca Kabinet semalam.

“Negara bernasib baik pada hari kejadian kerana tidak ada kereta api yang melalui kawasan tersebut pada ketika itu, bayangkan kalau ada komuter atau tren elektrik (ETS) yang lalu dan melanggar kren yang terjatuh, apa yang bakal berlaku adalah satu tragedi.

“Justeru, saya ingin membuat teguran secara terbuka dan memberi amaran kepada semua kontraktor supaya jangan pandang remeh terhadap isu keselamatan, mesti ikut syarat yang ditetapkan dan jangan sekali-kali masuk ke dalam kawasan larangan kereta api. Ini adalah antara hidup dan mati, soal nyawa manusia. Nak senangkan kerja, kamu mungkin merisikokan nyawa manusia,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Mendedahkan hasil siasatan, Anthony Loke berkata, kecuaian kontraktor menjadi punca berlakunya insiden kren tumbang berkenaan sehingga menyebabkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian lebih RM2.4 juta.

Menurutnya, ia berikutan pihak kontraktor gagal untuk memastikan kawasan kerja selamat kerana memasuki kawasan larangan tapak kerja yang tidak kukuh dan berlecak hingga menyebabkan kren menjadi condong ke atas landasan.

“Kawasan kren dibenar operasi adalah di luar (daripada kawasan kren jatuh) iaitu pada waktu tengah hari tetapi semasa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bermesyuarat, kontraktor atau jentera itu telah curi masuk ke zon bahaya tanpa kebenaran.

“Ia tanpa disedari pihak JKR, mereka masuk pada waktu petang pada hari sama. Ini merupakan punca insiden berlaku apabila pihak kontraktor masuk ke kawasan zon bahaya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, insiden berkenaan turut menimbulkan kesulitan terhadap KTMB memandangkan ia mengganggu operasi tren yang melibatkan lebih 20,000 penumpang ETS dan komuter.

Tambahnya lagi, kontraktor berkenaan juga diarahkan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut sehingga siasatan lanjut dilaksanakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menurut beliau, APAD ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan dibawah Seksyen 128 (1)(a) Akta 715 APAD sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan susulan.

Pada 13 Disember lalu, media melaporkan lebih 40,000 pengguna perkhidmatan KTMB membabitkan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral terjejas selepas mengalami gangguan akibat sebuah kren pembinaan projek parkir bertingkat tumbang di Stesen Rawang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya