SHAH ALAM: Sektor logistik kenderaan lori dijangka terjejas susulan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung berikutan peningkatan saingan dalam perniagaan tersebut.
Perunding Kanan, Global Asia Consulting (GAC), Samirul Ariff Othman berkata, tugas penghantaran barang atau kontena yang sebelum ini dilakukan oleh pemandu-pemandu lori, sebahagian besarnya bakal diambil alih menerusi ECRL apabila siap nanti.
Menurutnya, hal tersebut dibimbangi bakal mencetuskan lebihan penawaran dalam perkhidmatan lori yang berisiko menyebabkan ramai pemandu diberhentikan akibat kekurangan permintaan.
“Memang ada yang akan pertikai situasi tersebut tidak akan berlaku kerana kos perkhidmatan penghantaran melalui ECRL adalah tinggi. Kalau begitu apa tujuan kita laksanakan projek tersebut? Apa faedahnya?
“Sama ada pemandu lori kehilangan kerja atau kos perkhidmatan ECRL nanti akan jadi terlalu mahal sehingga menafikan sebarang faedah. Yang pasti, bila ia siap, perkhidmatan lori antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan akan kehilangan peluang dalam pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Samirul Ariff menambah, ketika ini, kira-kira 40 peratus pemandu lori sudah pun menyertai pembinaan ECRL menyebabkan berlaku kelewatan terhadap penghantaran barangan dan makanan khususnya di Lembah Klang.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, selain sektor pengangkutan awam penumpang, operasi ECRL juga perlu berasaskan pelan perniagaan yang kukuh bagi memastikan kemampanan projek tersebut.
“Kita tak boleh dengan mudah menganggap pembinaan ECRL akan memberi limpahan ekonomi, sebaliknya ia perlu mempunyai sasaran tetap jumlah pengangkutan kargo untuk mengelak projek tersebut daripada menjadi beban kewangan yang besar kepada negara.
“Bukan ECRL sahaja perkhidmatan pengangkutan rel di negara ini. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga mempunyai laluan rel. Adakah ia mampu berkembang dalam saingan bersama perkhidmatan rel sedia ada?” soalnya.
Untuk makluman, ECRL yang mempunyai jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 selepas pemasangan trek dilakukan pada bulan lepas bermula pada laluan 90km antara Gebeng dan Dungun, Terengganu.
Projek laluan keretapi itu bermula pada Ogos 2017 dengan kos asal berjumlah RM85.97 bilion, namun dikurangkan kepada RM74.96 bilion oleh kerajaan pada Disember 2022. – UTUSAN