SIK: Dua lelaki maut setelah motosikal mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan kira-kira pukul 9.30 malam tadi di Kampung Kalai, di sini.
Penunggang motosikal Yamaha Ego Solariz, Muhamad Jeffri Mat Said, 24, maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC, Mohd. Zarif Ahmad Kamal, 32, meninggal dunia di Hospital Sik.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, salah seorang mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja sementara seorang lagi sedang menuju ke tempat kerja.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa bekerja di kilang yang berbeza iaitu Muhamad Jeffri di Jeniang, Gurun dan Mohd. Zarif pula di Bakar Arang, Sungai Petani.
“Kedua-dua motosikal dari arah bertentangan dan kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Muhamad Jeffri yang sedang menuruni jalan yang berbukit hilang kawalan.
“Akibatnya, dia memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki oleh Mohd. Zarif,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdull Razak berkata, pelanggaran menyebabkan motosikal Muhamad Jeffri terbabas ke kiri jalan sebelum dia tercampak manakala Mohd. Zarif terpelanting di bahu kanan jalan.
“Mayat dibawa ke unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN