Dua lelaki sesat daki Bukit Janda Mandi ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Dua lelaki sesat daki Bukit Janda Mandi ditemukan selamat

ANGGOTA bomba bertanyakan sesuatu kepada dua lelaki yang ditemukan selamat selepas tersesat ketika mendaki Bukit Janda Mandi, Kijal, Kemaman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kegembiraan dua pekerja syarikat minyak dan gas di daerah ini, untuk mendaki Bukit Janda Mandi, di Kijal, dekat sini bertukar detik cemas apabila kedua-dua mereka tersesat hampir empat jam di kawasan hutan tersebut, pagi semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 2.15 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, difahamkan mangsa berusia 28 dan 29 tahun serta berasal dari Kuala Lumpur dan Besut itu mendaki bukit tersebut kira-kira pukul 9 pagi.

“Selepas kira-kira setengah jam mendaki, mangsa telah tersasar dari laluan asal berikutan terdapat pokok tumbang yang menutup trek pendakian.

“Mangsa cuba untuk mencari jalan keluar dengan menggunakan laluan yang terdapat saliran air dengan harapan laluan itu dapat menuju ke kawasan Air Terjun Janda Mandi, namun tidak berjaya kerana terdapat jurang yang tinggi.

“Mereka kemudian cuba berpatah balik, namun tidak berjaya menemukan jalan keluar,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Zailani berkata, kedua-dua mangsa bernasib baik berikutan lokasi tersebut masih mempunyai liputan telekomunikasi dan dapat menghubungi pasukan penyelamat kira-kira 12.35 tengah hari.

“Pihak bomba dan polis bergegas ke lokasi kejadian dan kita berjaya menemukan mangsa kira-kira pukul 2.15 petang, sebelum berjaya membawa mangsa keluar dengan selamat kira-kira pukul 4.30 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zailani menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan aktiviti luar seperti mendaki, berkelah dan mandi manda di kawasan yang berisiko untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kejadian sesat di kawasan Air Terjun Janda Mandi ini adalah kali kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan yang mana hujung bulan lalu dua individu turut tersesat ketika mendaki,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya