IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mematahkan kegiatan menjual telefon bimbit dan aksesori tiruan dalam serbuan di dua premis dalam kompleks membeli-belah di Jalan Laksamana, di sini semalam.
Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun untuk membantu siasatan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 11 unit telefon bimbit dan 31 unit aksesori telefon yang disyaki menggunakan dengan salah cap dagangan berjenama.
Katanya, pengesahan awal terhadap barangan itu telah pun dilakukan wakil pemilik cap dagang yang turut menyertai operasi berkenaan.
“Serbuan dilakukan ekoran aduan oleh wakil pemilik cap dagangan berkaitan penjualan telefon dan aksesori telefon berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.
“Dua lelaki tempatan ditahan untuk membantu siasatan dan barangan yang disyaki menggunakan cap dagang palsu dan dokumen yang berkaitan
disita bagi siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan dalam serbuan itu dianggarkan berjumlah RM10,869,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah, cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi pertubuhan atau syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Pihak KPDN memandang serius dalam membanteras penjualan barang tiruan sekali gus melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama,” katanya. – UTUSAN