PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan dua anggota polis dipercayai terlibat dengan kes rogol dan samun di Ampang di sini Selasa lalu.
Ini susulan dua laporan polis diterima Kontinjen Selangor daripada pengadu lelaki dan wanita warga asing yang merupakan pelajar di sebuah kolej swasta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 10.09 malam, Selasa lalu ketika pengadu dan rakan lelakinya berada di Ampang View di sini.
Katanya, kedua-dua mereka ditahan dua lelaki lengkap beruniform dan membawa pengadu dan rakannya ke lokasi berasingan.
“Dalam kejadian tersebut, seorang daripada suspek bertindak merogol wanita berkenaan manakala rakannya dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang menjalankan tangkapan kedua-dua suspek berpangkat koperal dan lans koperal.
“Polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol dan Sekzyen 395/397 KK atas kesalahan merompak,” katanya di sini hari ini
Menurut Hussein, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah atau salah laku,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai mempunyai maklumat diminta hadir ke balai polis atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian
03-42897222 bagi membantu siasatan.
Tular hari ini laporan mendakwa dua anggota yang bertugas di sebuah daerah di Selangor terlibat dengan kes rogol dan pemerasan terhadap dua individu termasuk seorang warga Uzbekistan.
Laporan itu mendakwa mangsa yang duduk di dalam sebuah kereta di lokasi kejadian ditahan dua anggota terbabit dan meminta sejumlah wang atas kesalahan memberhentikan kenderaan di tepi jalan.
Mangsa wanita didakwa masuk ke dalam kereta peronda polis manakala rakannya ke bank untuk mendapatkan pemerasan.- UTUSAN