KLANG: Pemantauan menggunakan dron mematahkan cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) meloloskan diri dengan bersembunyi dalam semak berdekatan sebuah kilang yang digempur polis di Kapar di sini, semalam.
Dalam serbuan bermula pukul 2.30 petang itu, puluhan warga asing sedang bekerja di kilang kitar semula berkenaan yang dipercayai beroperasi secara haram.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada daripada mereka bertindak melarikan diri namun berjaya dikesan dron dan dicekup.
Perkara itu dikesan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menyerbu tiga kilang secara serentak di lokasi berasingan sekitar Kapar.
Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Asisten Komisioner Hazril Kamis berkata, Op Khas Aman 1 itu membawa kepada penahanan seramai 116 individu berusia 20 hingga 72 tahun bagi tindakan lanjut.
Jelas beliau, pemeriksaan mendapati semua Pati termasuk tujuh wanita yang ditahan melibatkan warga Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, China, Taiwan India.
“Tangkapan itu turut meliputi tujuh lelaki termasuk tiga warga tempatan yang dipercayai majikan warga asing tersebut.
“Selain itu, lima lelaki iaitu empat warga Myanmar dan seorang Bangladesh yang dipercayai menjadi buruh paksa turut diselamatkan,” katanya ketika ditemui pada operasi itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga premis itu terdiri daripada kilang papan dan kitar semula sisa elektronik dengan turut dikawal beberapa ekor anjing.
Tambah Hazril, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan lanjut turut dijalankan polis mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007. Kesemua tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN