SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat didakwa bagi 20 pertuduhan memberi dokumen palsu serta menipu maklumat dalam dokumen tersebut di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Ahmad Alfiz Md. Mukhlas, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Alfiz dengan niat telah memperdaya dua orang pembantu tadbir (kewangan) Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS), Sabak Bernam dengan memberikan maklumat palsu dalam 20 dokumen invois syarikatnya bagi tuntutan bayaran kerja pembersihan bangunan dan penyelenggaraan lanskap, dengan jumlah keseluruhan RM370,000.
Dalam invois tersebut, Ahmad Alfiz turut didapati memasukkan maklumat palsu, iaitu maklumat jumlah pekerja bagi tuntutan berkenaan, sedangkan tiada pekerja yang dibekalkan.
Tertuduh membuat kesalahan tersebut di antara September 2020 sehingga April 2022.
Oleh demikian, dia didapati bersalah melakukan kesalahan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.
Selain itu, Ahmad Alfiz juga dituduh untuk 20 pertuduhan pilihan, iaitu mengemukakan 20 dokumen invois palsu yang mengandungi salinan kad perakam waktu pekerja dalam tempoh yang sama.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin pada mulanya memohon mahkamah supaya menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Namun peguam tertuduh, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memohon mahkamah mengurangkan amaun ikat jamin kepada RM11,000 kerana pendapatan Ahmad Alfiz yang rendah sebagai seorang tukang kebun di sebuah kelapa sawit dengan pendapatan RM600 sebulan.
Dia dan isterinya, iaitu seorang guru taska di Sungai Panjang, Sabak Bernam terpaksa menanggung perbelanjaan lima orang anak mereka, ibu dan abang Ahmad Alfiz.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM11,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM Selangor, pada minggu pertama setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Februari. – UTUSAN