KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, menepis tuduhan pelantikannya mengetuai persatuan itu adalah tidak sah dan dia telah disenarai hitam oleh Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil, 44, menjelaskan, pelantikannya bagi penggal 2022 hingga 2025 telah melalui proses yang ditetapkan, namun sistem pendaftaran baru eROSES yang diperkenalkan pada tahun 2023 mengalami masalah teknikal.
“Sebelum ini, setiap dokumen kita hantar terus kepada pihak RoS. Namun selepas sistem eROSES diperkenalkan, kita hantar menerusi sistem itu namun ia mengalami masalah teknikal.
“Jika kurang satu dokumen, ia akan automatik anggap pendaftaran ditolak. Tapi saya telah berurusan dengan pegawai di sana untuk atasi perkara ini.
“Situasi begini tidak dihadapi saya seorang, malah kepimpinan persatuan lain termasuk timbalan Presiden MUDA. Secara undang-undang dan akta yang sedia ada, pihak saya telah ikut semua prosedur yang ditetapkan, nama saya juga sudah ada di RoS,” katanya.
Zed Zaidi ditemui Utusan Malaysia di pejabat Seniman, Taman Malawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelakon Sembilu itu juga menegaskan tidak menerima apa-apa notis daripada pihak mahkamah atau RoS jika benar namanya telah disenarai hitam.
“Kalau benar saya telah disenarai hitam, mestilah saya ada terima apa-apa notis. Tuduhan itu tidak logik.
“Jika saya terima apa-apa surat atau notis mahkamah, baru saya akan layan dakwaan ini. Kalau setakat khabar angin tanpa bukti hitam putih dari mahkamah, anda hanya ‘sembang’.
“Jika mahkamah sudah beri keputusan sekalipun, saya masih mempunyai 14 hari untuk buat rayuan,” tambahnya.
Enggan mengulas dakwaan yang tersebar mempunyai unsur untuk menjatuhkannya, Zed hanya menganggap segala yang terjadi adalah lumrah dalam perjuangan.
“Bila jadi presiden banyak cabaran perlu dilalui dan saya sudah hadapi bermacam-macam perkara.
“Saya hanya menganggap inilah nilai yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan dan enggan ambil peduli,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr. Md. Nasir mendakwa Zed Zaidi bukanlah pemimpin Seniman yang sah.
Nasir telah berkongsi bukti tangkap layar Semakan Senarai Hitam Pegang Jawatan RoS menerusi mesej yang dihantar kepada rakan media minggu lalu.