SHAH ALAM: Seorang wanita mengalami detik cemas apabila disamun dekat sebuah apartmen di Taman Sri Muda, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Bagaimanapun suspek dikatakan hanya berjaya merampas RM60 daripada mangsa sebelum melarikan diri.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan mangsa dalam media sosial, dia disamun kira-kira pukul 5.15 pagi oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.
“Saya disamun, ciri-ciri (suspek) berbadan kurus sederhana tinggi. Jadi kepada mereka yang bekerja dan balik rumah awal pagi di kawasan sekitar, berhati-hati. Laporan polis sudah dibuat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang berumur 26 tahun itu yang berjalan seorang diri ditahan oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.
“Suspek kemudiannya segera meminta wang dan mangsa memberikan wang berjumlah RM60 kepadanya. Memandangkan terdapat orang melalui di sekitar tempat kejadian, suspek segera meninggalkan tempat tersebut,” jelasnya.
Tegasnya, polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun. – UTUSAN