PETALING JAYA: “Saya bukan lagi pelakon sepenuh masa, saya juga ada banyak masa untuk keluarga.”
Itu perkongsian pelakon, Diana Danielle yang kini terbahagi fokus selepas mendaftar dan memulakan pengajian di sebuah universiti tempatan dalam bidang biologi kimia dan psikologi.
Malah, Diana yang juga isteri kepada pelakon, Farid Kamil juga turut memulakan pengajian dalam dua bidang serentak termasuk pengurusan perniagaan.
“Saya sambung pengajian semula semua orang! A-level dan diploma serentak. Mungkin ada yang cakap tindakan tak wajar tetapi saya gelar sebagai thirst trap education version.
Dalam pada masa yang sama, saya fikir ini akan jadi sesuatu yang menarik. Jadi, saya kini bukan lagi pelakon sepenuh masa,” ujarnya.
Malah, dalam perkongsian di Instagram, pelakon yang juga penyanyi ini turut memuat naik gambar menunjukkan dia sedang menyiapkan tugasan selain perlu menghadiri kelas secara maya pada hujung minggu.
“Saya pernah belajar dalam bidang bioteknologi dan itu adalah pilihan ibu saya. Saya tahu langkah itu membuang masa kerana bukan pilihan sendiri.
“Saya gembira dapat menyambung kembali pengajian dalam bidang yang saya suka dan bukannya disebabkan terpaksa.
“Ketika ini, kerjaya seni berjalan baik dan ini mas apaling sesuai untuk kembali bergelar pelajar dalam bidang perniagaan dan sains,” kongsinya.-UTUSAN