KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan yang juga bekas penyanyi, Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina mendedahkan bekas suaminya, Noh Salleh telah melanggar perjanjian kerana bertindak memuat naik gambar anak angkatnya, Musa di Internet.
Jelasnya menerusi Instagram, Noh tidak mempunyai hak penjagaan terhadap kanak-kanak tersebut justeru telah mencalar privasi Musa gara-gara tindakannya itu.
“Musa dilarikan tanpa kebenaran dan pengetahuan saya serta sebarang makluman tentangnya. Anak saya dilarikan dari saya. Saya pelihara dan susukan Musa dua hari selepas dia dilahirkan. Selama dua tahun kami tidur bersama, jalani rutin harian dengan mengikuti kelas dan bercampur gaul dengan kawan-kawannya. Tapi baru-baru ini dia dilarikan ketika dia secara sah diletakkan dalam jagaan saya.
“Selama lebih tiga minggu saya terputus komunikasi dan tidak tahu keberadaannya serta tidak dimaklumkan apa-apa tentang dia. Dan dalam tempoh itu, bekas suami saya melanggar perjanjian dengan muat naik gambar Musa di Internet sambil mendakwa kononnya dia tidak tahu menahu tentang perkara itu.
“Bermula saat itu, ruang privasi Musa tercalar dan hidupnya tidak lagi seperti sebelum ini. Anak-anak tidak patut dipisahkan daripada penjaga mereka yang sah. Dan bagi mengelakkan berlaku konflik, saya merujuk kepada mahkamah syariah untuk mengambil semula Musa dengan perintah mahkamah. Alhamdulillah, dia kembali di sisi saya selepas mengalami trauma kerana dilarikan daripada persekitaran asalnya,” dedahnya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pembantu warga asing bertindak melarikan anak seorang selebriti terkenal. Tindakan itu kononnya didalangi vokalis sebuah band terkenal yang juga bekas suami selebriti berkenaan.
Susulan itu Noh tampil menafikan dia menculik Musa, sebaliknya mengambil kanak-kanak tersebut mengikut lunas undang-undang.
Namun, Mizz Nina dalam perkongsian sama menegaskan Noh tidak mempunyai hak penjagaan kerana sebelum ini telah bersetuju untuk memberikan hak jagaan penuh Musa kepada beliau.
“Selepas bercerai, bekas suami saya telah menandatangani persetujuan bersaksikan pesuruh jaya sumpah untuk memberikan hak penjagaan penuh Musa kepada saya. Bermula saat itu, dia hilang hak sebagai penjaga Musa.
“Musa terus menerima kasih sayang penuh dari mama dan babanya meskipun apabila saya berkahwin dengan suami sekarang, Essam. Namun tanpa tanpa pengetahuan saya, dia dilarikan dengan bantuan pengasuh yang mengkhianati saya ketika ketiadaan saya.
“Pendedahan ini bukan bertujuan untuk memanaskan keadaan, sebaliknya untuk berkongsi perkara sebenar agar fitnah dan spekulasi tidak berlaku. Ini bukan sekadar kisah saya, tapi juga satu kebenaran. Semoga dengan kuasa Allah, kebenaran terus ditegakkan,” kongsinya.
Untuk rekod, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendirikan rumah tangga dengan Mizz Nina pada Julai 2011. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 4 Ogos 2022.