PETALING JAYA: “Sebelum dia berangkat ke London, kami ada berbual. Ketika itu dia cakap, dah tak lama ini mak. Saya cakap,saya jawab orang yang sakit tak semestinya akan meninggal, ada sahaja yang sihat.”
Itu luahan ibu kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin iaitu Siti Nooriah Hasan ketika ditanya pesanan akhir anaknya sebelum meninggal di London Khamis lalu.
Siti Nooriah berkata, dia ada membuat panggilan video ketika anaknya sedang dalam keadaan nazak selepas pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London minggu lalu.
“Sewaktu di London, suami Allahyarham ada memaklumkan yang Fiza sudah tak sihat. Dia hantar gambar sebelum Allahyarham pengsan.
“Ketika di hospital pun, suaminya ada buat panggilan video dan saya ada bercakap dengan Allahyarham. Dia panggil nama saya, saya panggil namanya juga.
“Esoknya ada buat panggilan video lagi dan saya nampak dia dalam keadaan sudah nazak. Nafasnya macam sudah ke atas-atas,” ujarnya.
Siti Nooriah berkata demikian ketika ditemui di Masjid Jamek Kg Baru, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Sementara itu, Norriah meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat berada di sisi arwah di saat akhir namun reda dengan ketentuan dan susunan takdir Allah SWT.
“Tipu kalau tak terkilan tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir. Saya ada cakap dengan suaminya, kalau tak bawa balik jenazah pun tidak apa.
“Kebumikan sahaja di sana (London). Saya reda dengan pemergian dia, merelakan sahaja.
“Arwah cakap dengan adik juga, dia nak duduk rumah saya, sebab dah bosan duduk rumah sendiri. Dia pun bergurau, kalau nak ambil rumah dia, ambillah,” kongsinya.
Fiza, 40, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.
Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.-UTUSAN