Apabila dapat tahu sahaja Death Whisperer menjadi antara filem pecah panggung di Thailand, saya jadi tidak sabar mahu menonton apakah kejutan dan elemen dalam naskhah ini yang membuatkan filem ini menjadi fenomena di di negara itu.
Death Whisperer memilih latar tempat sebuah perkampungan kecil di sebuah daerah di Kanchanaburi, Thailand sekitar tahun 1970.
Dari aspek pemilihan latar sahaja, saya kira sutradara, Taweewat Wantha sudah berjaya menghidupkan aura seram menerusi rumah kayu yang suram, jauh dari orang-orang dan terletak di dalam hutan. Nuansa yang sangat sempurna untuk memulakan sebuah pengalaman mistik.
Ada sebuah dongeng misteri yang terjadi di kampung itu di mana anak perempuan mati secara tiba-tiba, katanya ‘benda’ itu mahu hidup di badan mereka dan membuat kekacuan. Mimpi buruk terjadi apabila seorang anak perempuan dalam enam beradik ini tiba-tiba berperangai aneh menimbulkan sangsi kalau-kalau mereka adalah mangsa yang seterusnya.
Kelainan Death Whisperer, ia tidak hanya mahu menjual seram sebagai komoditi utama filem, malah juga mesej penting tentang kasih-sayang sesama adik-beradik. Cuma saya berharap dialog adik-beradiknya akan lebih menyentuh dan ditonjolkan lebih dalam di dalam layar. Agar lebih menghiris dan tragis.
Wajah sebenar Kanchanaburi?
Nadith Kugimiya diberi tanggungjawab menjadi hero bernama Yak untuk menyelamatkan adik mereka.
Mungkin satu-satunya hal yang bagi saya merepak dalam filem ini ialah bagaimana enam orang adik-beradik ini boleh sangat kacak dan jelita ala-ala model darah kacukan yang sukar sekali kita temui wajah seperti mereka di perkampungan terpencil.
Ia membuatkan saya rasa Death Whisperer sedikit hilang keaslian walaupun ia diinspirasikan daripada kisah benar di Thailand.
Namun lakonan mantap kesemua adik-beradik iaitu pelakon seperti Rattawadee Wongthong, Arisara Wongchalee, Jelilcha Kapaun, Kajbhunditt Jaidee dan lain-lain berjaya membuatkan saya menutup sebelah mata keganjilan itu.
Death Whisperer berusaha memberikan pengalaman seram dan thriller apabila Yak melawan lembaga itu dengan aksi tembak menembak menggunakan senapang di ladang. Lembaga yang ditonjolkan pula cukup ngeri, wajahnya antara kelihatan samar-samar dan tidaklah seperti naskhah seram lain yang hanya melumurkan darah di bibir para hantu. Juga adegan leher terputus dengan percikan darah yang memancut-mancut sungguh mengujakan.
Ada bahagian ngilai mengilai, kerasukan, dan juga aksi kejutan untuk menambahkan rasa keseraman. Namun begitu, entah mengapa saya hanya merasakan ia bagus, namun belum cukup membuatkan bulu roma saya meremang atau terkenang-kenang selepas filem berakhir.
Namun begitu, secara keseluruhan, struktur filem ini sangat jelas dan dibikin dengan cermat dari plot ke plot. Bukan itu sahaja, sinematografi visual sepanjang Death Whisperer juga sangat cemerlang mengingatkan saya dengan standard filem seram pecah panggung Amerika Syarikat arahan James Wan.
Saya tidak mahu membocorkan apa pengakhiran filem ini. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, namun saya menyukai sebuah filem dengan penutup yang membuahkan persoalan dan membangkitkan perbincangan selepas naskhah ditayangkan. Pendek kata, saya menyukai sebuah penutup filem seram yang grey area, bukan hitam putih. Death Whisperer nampaknya berjaya memberikan saya kepuasan itu.