DBKK catat tunggakan cukai berjumlah RM75.68 juta

DBKK catat tunggakan cukai berjumlah RM75.68 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merekodkan tunggakan cukai kadaran yang mencecah RM75.68 juta setakat hari ini.

Datuk Bandar, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, jika dilihat jumlah cukai kadaran yang tidak dijelaskan sehingga kini berjumlah RM54.3 juta dengan kadar faedah dan yuran notis sebanyak RM21.37 juta.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, 11 notis tuntutan cukai dikeluarkan dengan jumlah tuntutan cukai berjumlah RM30,485.73 serta tujuh kes saman yang melibatkan pembayaran sebanyak RM64,518.24.

Sepanjang tempoh sama, 68 kes yang telah difailkan di mahkamah pada tahun-tahun sebelumnya berjaya diselesaikan dengan jumlah kutipan sebanyak RM634,051.52.

Menurut beliau, dalam menggalakkan pembayaran tunggakan cukai, pihak DBKK menawarkan diskaun sebanyak 75 peratus bagi pembayaran tunggakan sekali gus. Namun, tawaran diskaun itu hanya bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Dalam pada itu, DBKK turut menawarkan rebat lima peratus bagi cukai tahun semasa sekiranya pembayar cukai kadaran tahun semasa dibayar sekali gus sebelum 31 Mac ini.

“Justeru, saya menyarankan penduduk di kawasan bandar ray aini untuk datang membuat pembayaran cukai secara online mahupun datang ke pejabat DBKK.

“DBKK ingin memberi jaminan bahawa kami akan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di bandar raya ini agar mereka rasa bayaran cukai yang dibuat setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya selepas majlis makan malam bersama media, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, menjelang sambutan hari bandar raya pada 1 Februari ini, DBKK tidak merancang menawarkan pengampunan kepada mana-mana pihak yang ingin membayar tunggakan saman atau kompaun.

Katanya, mungkin pengurangan denda boleh diberikan sekiranya saman atau kompaun bagi kesalahan meletak kenderaan dijelaskan sekali gus.

“Sekiranya kita menghapuskan denda atau kompaun, tindakan sebegitu tidak adil kepada mereka yang patuh kepada undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya