PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berhasrat mahu menggubal dasar khusus berkaitan pengurusan sisa elektronik atau e-waste kebangsaan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah tersebut amat perlu kerana ketika ini Malaysia belum ada sebarang polisi yang menyentuh isu berkenaan selain trend pelupusan sisa berkenaan semakin bertambah dan memerlukan kaedah pemantauan rapi.
Katanya, pihaknya sedar mengenai peningkatan bahan-bahan ini terutama bateri daripada kenderaan elektrik (EV) generasi pertama yang perlu dikendalikan betul apabila dibuang.
“Insya-Allah saya akan membangkitkan dalam Kabinet mengenai keperluan untuk kita ada satu dasar berhubung isu kawal selia e-waste,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas melancarkan Hari Gaya Hidup Hijau dengan penampilan gimik maskot watak E-Cha yang ada dalam siri animasi popular tempatan, Omar & Hana.
Beliau kemudian merasmikan mesin pengumpulan botol plastik dikenali Reverse Vending Machine berasaskan sistem kecerdasan buatan dengan kerjasama firma industri, Klean.
Ketika ini sisa elektronik dikategorikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai buangan terjadual dengan kod khas SW110 menurut Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005.
Berdasarkan unjuran JAS ujarnya, Malaysia bakal menghasilkan 24.5 juta unit e-waste menjelang 2025 kelak yang dibuang di sejumlah 197 pusat pengumpulan seluruh negara.
Sisa berkenaan antaranya meliputi telefon pintar, komputer riba, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin udara yang komponennya perlu dilerai serta diasingkan dahulu. -UTUSAN