Dapat upah RM8,000 bawa dadah ke Sarawak

Dapat upah RM8,000 bawa dadah ke Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang tukang masak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 Ahad lalu selepas didapati cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat lapan kilogram (kg) bernilai RM264,000.

Lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan di Balai Berlepas KLIA Terminal 2 pukul 5 pagi bersama satu bagasi.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi menjumpai lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, yang dibaluti dengan pakaian.

Beliau berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati suspek ingin berlepas dari KLIA Terminal 2 ke Bintulu, Sarawak.

“Suspek mendedahkan dia datang ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakan lelakinya Sabtu lalu, bertujuan mendapatkan bekalan dadah untuk pasaran Sarawak.

“Bagaimanapun, rakan suspek telah berlepas ke Miri menerusi penerbangan berasingan dan ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Rakan suspek juga ditahan bersama lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 8.3kg bernilai RM274,000,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dan rakannya itu mengaburi pihak berkuasa dengan membaluti dadah dengan pakaian yang disorokkan dalam bagasi dan seterusnya menggunakan perkhidmatan self check-in yang dianggap sukar untuk dikesan pihak berkuasa.

Imran berkata, saringan awal ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

Menurutnya, semakan rekod jenayah juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Siasatan juga mendapati suspek menerima upah sekitar RM8,000 untuk satu perjalanan membawa dadah dari Semenanjung ke Sarawak.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 5(1) (a) ADB 1952,” katanya.

Katanya, BSJN IPD KLIA juga akan meneruskan siasatan dengan bantuan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan JSJN Bukit Aman untuk mengesan saki baki ahli sindiket penyeludupan dadah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya