PONTIAN : DAP perlu menjelaskan kepada orang-orang melayu bahawa pandangan yang dikeluarkan tiga orang pemimpin mereka sebelum ini merupakan pandangan peribadi dan bukan pendirian parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun ada penjelasan daripada pemimpin kanan DAP, namun isu tersebut masih berlegar-legar dalam pemikiran orang-orang melayu.
Katanya, dalam masa yang sama, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu ) terus menggunakan isu tersebut menyerang UMNO dan Kerajaan Perpaduan bagi kepentingan politik mereka.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bukan tanggungjawab kepimpinan UMNO untuk menjelaskan kepada ahli diperingkat akar umbi, kerana pemimpin DAP yang mula mencetuskan isu tersebut.
“ UMNO tiada masalah untuk menjelaskan kepada ahli-ahli, tetapi penjelasan daripada pemimpin DAP bagi sama-sama membantu menjernihkan isu tersebut kepada orang-orang melayu.
“ Begitu juga dengan soal kaum, agama dan institusi Diraja ( 3R ) harus jelas kepada semua pemimpin DAP supaya mereka tidak mengulangi perkara yang sama,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Jualan Peladang Outlet, Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK ) Benut, disini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyebut tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Diikuti dengan Cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Terbaru cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ng Koo Ham, bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana menyeragamkan undang-undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan keras daripada pemimpin parti Melayu termasuk daripada kalangan parti kerajaan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan perkara berkenaan terkhilaf mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.
“Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh (Koo Ham) akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam,” ujar Anthony.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, hubungan dalam kerajaan perlu terus dipelihara dan tidak membiarkan perkara-perkara sensitive dibangkitkan pada masa akan datang.
“ Jika perkara seperti itu berulang kembali , hanya akan memberikan ‘ peluru’ kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan apabila isu-isu berkaitan 3R terus diulang-ulang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga timbalan menteri kerja raya berkata, semua pihak perlu menyokong usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat negara terus aman dan rakyat hidup dalam suasana harmoni. – UTUSAN