CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap projek pembangunan yang diluluskan pada Belanjawan 2024 dimulakan segera kerana dana sudah disalurkan kepada setiap kementerian pada bulan ini.
Perdana Menteri berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah, Perbendaharaan menyalurkan dana belanjawan pada bulan Januari.
“Tidak perlu tunggu sehingga akhir suku pertama, projek pembangunan yang diumumkan pada Belanjawan 2024 sudah boleh dilaksanakan segera.
“Segala peruntukan yang diluluskan pada Belanjawan 2024 sudah disalurkan kepada semua kementerian bermula bulan ini.
“Setiap kementerian perlu memulakan projek pembangunan itu sekarang (mulai Januari) tanpa perlu menunggu sehingga habis suku pertama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini, hari ini.
Ditanya mengenai hala tuju ekonomi negara bagi tahun ini, Anwar berkata, perkara paling utama adalah kestabilan politik diikuti dasar yang jelas.
Katanya, kerajaan juga sudah melaksanakan beberapa inisiatif dan program yang perlu dikoordinasi oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan disusuli tindakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Ini menjadi aduan utama yang diutarakan oleh pelabur berpotensi dari China dan Amerika Syarikat (AS) dalam banyak pertemuan saya bersama mereka sebelum ini.
“Perkara ini boleh diselesaikan berdasarkan komitmen dan saya melihat keputusan yang positif daripadanya. Ia harus menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program pemukiman itu, Anwar berkata, kerajaan bersedia membuat penilaian untuk memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, ia menjadi tema kepada perbincangan bersama 31 menteri dan pegawai kanan kerajaan pada program Pemukiman Jemaah Menteri selama dua hari bermula semalam dan hari ini.
“Matlamatnya untuk meningkatkan keupayaan kita memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, memacu ekonomi negara dan memaknai falsafah negara Madani agar Malaysia menjadi lebih hebat,” katanya.
Jelasnya lagi, sesi pemukiman yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu itu turut menekankan perpaduan rakyat dan kestabilan politik.
Selain itu, katanya, beberapa isu khusus seperti meningkatkan mutu pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital turut dibincangkan. – UTUSAN