Dakwaan King Sing Exco pelancongan Perlis tidak hadir tidak benar -MB - Utusan Malaysia

Dakwaan King Sing Exco pelancongan Perlis tidak hadir tidak benar -MB

GAMBAR menunjukkan Exco Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad hadir pada mesyuarat di Putrajaya pada 14 November tahun lalu.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dakwaan bahawa tidak ada wakil kerajaan negeri hadir dalam mesyuarat di Putrajaya pada 14 November tahun lalu adalah tidak betul.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, hal demikian kerana, Exco Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad ada hadir pada mesyuarat berkenaan pada tarikh tersebut.

“Tiada kewajaran tuduhan yang mengatakan tiada wakil daripada negeri Perlis yang hadir ke mesyuarat bersama Menteri MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) pada 14 November 2023.

“Exco Pelancongan Perlis, Wan Badariah telah hadir ke mesyuarat tersebut bersama pegawai MOTAC. Tuduhan sebegini tanpa menyemak kesahihan fakta dilihat boleh mencalarkan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Perlis,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa kerajaan negeri Perlis tidak hadir dalam mesyuarat di Putrajaya pada 14 November tahun lalu berhubung saluran peruntukan pelancongan untuk negeri itu.

King Sing dilaporkan, berkata, ketika itu, exco-exco pembangunan pelancongan negeri-negeri lain hadir dalam mesyuarat berkenaan setelah dijemput, namun Perlis hanya menghantar pegawai MOTAC sebagai wakil.

Kata King Sing, pada tahun lalu, sebanyak RM3.5 juta diperuntuk dan disalurkan bagi tujuan promosi pelancongan di Perlis melalui pelbagai acara dan program.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri memohon peruntukan khas untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 bukannya menyentuh mengenai peruntukan sebanyak RM3.5 juta yang semua negeri dapat.

Katanya, peruntukan tambahan yang dimohon adalah khusus khusus untuk TMPs bagi tahun 2024/2025 bagi penambahbaikan infrastruktur lapan tempat pelancongan di Perlis.

“Negeri yang menganjur tahun melawat negeri masing-masing seperti Melaka dan Perak telah mendapat peruntukan kecuali Perlis yang masih tidak ada khabar berita walaupun saya sendiri telah berbincang dengan YAB PM (Perdana Menteri) dan juga sudah menghantar surat permohonan peruntukan kepada YB Menteri MOTAC,” katanya.

Seterusnya, Mohd Shukri menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama rapat dengan MOTAC bagi memajukan industri pelancongan di negara ini dan berharap isu permohonan peruntukan ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan semua pihak.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan berhubung kekecewaan Mohd. Shukri yang mendakwa  tiada sebarang maklum balas diterima berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena TMPs 2024/2025.

Mohd. Shukri berkata, King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara tersebut sebelum ini.

Mengikut data, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.

Malah, pelancongan Perlis juga semakin melonjak sejak kebelakangan ini dengan setiap kali musim cuti persekolahan atau hujung minggu, negeri itu dipenuhi pelancong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya