PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan beliau tidak runsing dengan siasatan dan tindakan mahkamah dihadapinya namun mendakwa bimbang terhadap masa depan negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, ahli perniagaan berusia 85 tahun itu mengajak rakyat untuk bangkit melawan Anwar yang disifatkannya sebagai ‘musang berbulu ayam’.
Daim dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, beliau tidak mahu menyentuh pertuduhan politik dihadapi sebaliknya menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah dan bersedia melawan di mahkamah.
“Seperti orang lain yang mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Anwar Ibrahim pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB (1 Malaysia Development Berhad).
“Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahgunakan kuasa, di samping memungkiri janji-janji reformasi. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan perkara sebaliknya.
“Demi menjadi Perdana Menteri, Anwar melantik seorang yang berdepan pertuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah TPM dilucutkan. Adakah ini Malaysia baharu yang dijanjikan?,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kejujuran, integriti dan tadbir urus baik dibelakangkan bahkan institusi bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan demi mengejar musuh politik.
Katanya, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara, mengkritik kerajaan atau Anwar malah menteri juga mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.
“Seharusnya Anwar sedar bahawa semua ini ada kesannya. Ketika sibuk mengejar dendam lampau, Ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitan rakyat biasa berterusan.
“Dalam usia yang lanjut, saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib diri sendiri, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya kepada saya, tetapi saya khuatir nasib negara saya,” katanya.
Daim dalam pada itu meminta rakyat Malaysia melakukan apa saja termampu untuk mempertahankan dan menyelamatkan negara ini.
“Jangan teragak-agak atau takut untuk melawan Anwar dan rejimnya. Kerajaan bertanggungjawab terhadap rakyatnya bukan sebaliknya,” katanya. – UTUSAN