PETALING JAYA: Pelawak, Ali Puteh berang apabila individu yang didakwa menyebarkan fitnah terhadapnya enggan memenuhi tuntutan untuk bersemuka bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.
Ali atau Syed Ali Mubarak Syen Mohd. Ridzuan berkata, individu tersebut juga bersikap kurang ajar dan tetap ‘berlagak’ dengan memuat naik status berbaur sindiran terhadapnya.
“Bukan main lagi ya langsi. Dah fitnah aku, berlagak lagi pula ya. Habis berniaga aku call kau, jangan tak angkat!” tulis Ali di Instastorynya.
Pelawak itu dalam hantaran sama memuat naik tangkap layar perkongsian individu menggunakan akaun Suri Emmy tersebut.
“Kau siapa nak arah aku mesej, hantar pesanan langsung,” ujar wanita tersebut.
Terdahulu, Ali meluahkan rasa berang dan menuntut wanita itu bersemuka selepas didakwa menyebarkan fitnah kononnya pelawak itu menggunakan wang orang lain sebagai modal berniaga.
Jelas adik kepada pelawak, Allahyarham Abam itu juga, dia tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya individu tersebut enggan memenuhi tuntutan bersemuka.-UTUSAN