Cubaan ketiga bawa dadah, 3 'keldai' bawa 36.53 kg syabu ditahan

Cubaan ketiga bawa dadah, 3 ‘keldai’ bawa 36.53 kg syabu ditahan

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan barang rampasan dadah jenis Methamphetamine pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan tiga sekawan termasuk sepasang suami isteri menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu    dianggarkan seberat 36.53 kilogram (kg) gagal apabila mereka ditahan polis di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di sini, pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, penahanan dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun itu dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

“Polis merampas sebanyak 38 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine yang sedang dibawa oleh ketiga-tiga suspek di dalam tiga buah bagasi.

“Siasatan awal mendapati suspek mahu menuju ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Miri, Sarawak pada pukul 12 tengah hari,” katanya menerusi sidang akhbar di IPD Sepang hari ini.

Menurut beliau, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat diterima daripada polis Miri yang berjaya menahan seorang individu bersama bagasi berisi dadah.

Jelasnya, siasatan lanjut turut mendapati ketiga-tiga suspek bertindak sebagai keldai dadah yang diupah sebanyak RM10,000 bagi membawa dadah dari ibu negara ke negeri tersebut dan dipercayai aktif melakukan aktiviti itu sejak pertengahan tahun lalu.

“Ini adalah kali ketiga mereka lakukan (seludup dadah). Dua kali sebelum ini mereka berjaya melepaskan diri sampai ke Sarawak dan kali ketiga pihak polis berjaya mengesan dan menangkap suspek,” ujarnya.

Tambahnya lagi, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah dianggarkan bernilai RM1.2 juta dipercayai untuk pasaran di sekitar Sarawak.

Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya