KUALA LUMPUR: Sejak berkelana ke Hong Kong Julai tahun lalu selaku jurulatih perseorangan badminton negara itu, Wong Choong Hann mengakui cukup teruja menjejakkan kembali kaki ke Axiata Arena yang disifatkan begitu dekat dihatinya.
“Bagus dapat pulang ke Malaysia terutama di Axiata Arena, kemesraan itu yang saya rasakan pada ketika ini, harap ada satu keputusan yang bagus pada Terbuka Malaysia,” katanya membuka bicara ketika ditemui pemberita di Bukit Jalil.
Kepulangan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia itu buat kali pertama selaku pengendali pemain perseorangan Hong Kong ke tanah air memberi satu aura yang berbeza.
Dia kini tidak berada dalam kem Malaysia, tetapi sebaliknya menjadi lawan kepada wakil negara khususnya pemain perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia yang berpotensi berdepan pemain bimbingan Choong Hann, Angus Ng Ka Long jika berjaya mara sehingga ke suku akhir.
Ketika ditanya tentang pengalaman yang diraihnya di rantau orang, bekas jaguh perseorangan Malaysia itu berkata, dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan momentum dan ‘budaya’ bekerja Persatuan Badminton Hong Kong.
“Saya memang sudah kenal lama rata-rata individu yang berada di sana, tetapi, situasinya kini berbeza kerana saya perlu bertemu mereka pada setiap hari.
“Namun, dari segi latihan masih sama ketika saya berada di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), mereka juga berlatih sesi pagi dan petang,” ujarnya.
Jelas jurulatih berusia 46 tahun itu, keputusan untuk berkelana di Hong Kong adalah disebabkan kemahuannya untuk mengembangkan karier serta pengalaman selaku jurulatih.
Choong Hann yang pada ketika ini tidak disertai keluarga di Hong Kong memberitahu, dia kini sibuk mencatur laluan pemain yang berada di bawah terajunya untuk mencari slot ke Sukan Olimpik di Paris.
Menurutnya, secara keseluruhan persiapan berjalan lancar, cuma masih ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi skil dan kestabilan permainan anak-anak buahnya.
Selain Ka Long yang menghuni ranking ke-20 dunia, Choong Hann yang turut melatih pemain No. 17 dunia, Lee Cheuk Yiu berharap, kedua-dua pemain berkenaan mampu layak ke Sukan Olimpik. – UTUSAN