GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan siasatan segera berhubung kenaikan harga bawang yang didakwa terlalu tinggi pada masa ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, menerusi tinjauan yang dijalankan pihaknya mendapati harga bawang yang diimport dari India meningkat kepada RM9 sekilogram.
”CAP amat bimbang dengan kenaikan harga bawang yang dijual di pasaran negeri ini.
”Semasa perayaan Krismas sebelum ini, harga bawang dikawal pada RM5 sekilogram, namun meningkat hampir 100 peratus dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemborong mendakwa masalah itu bermula apabila bekalan dari India terhenti.
”Mereka juga memaklumkan daripada seguni bawang import seberat 10 kilogram (kg), hanya 60 peratus boleh dijual manakala 40 peratus lagi rosak dan busuk,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga acar buah, Roseliani Zakaria berkata, kenaikan harga bawang memang ketara pada masa ini dan dia mengelak untuk membeli bawang merah di kedai-kedai runcit kerana harganya meningkat dengan mendadak.
Katanya, dia akan membeli bawang di pasar raya bagi mendapatkan harga yang agak murah kerana dia membeli bawang dalam kuantiti yang banyak.
“Produk acar buah yang saya jual memang menggunakan bawang yang banyak jadi saya perlu mencari tempat yang menjual bawang pada harga berpatutan.
”Saya akan membeli bawang dalam kuantiti yang banyak di pasar raya kerana harganya jauh lebih murah berbanding yang dijual di kedai runcit,” katanya.
Tambahnya, sebagai pengguna dia berharap pihak berkuasa dapat memantau harga bawang supaya kenaikannya tidak membebankan pengguna terutama peniaga-peniaga kecil. – UTUSAN