KUALA SELANGOR: WCE Berhad akan mula mengenakan caj tol di Plaza Tol Assam Jawa Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini, mulai tengah malam ini.
WCE Berhad dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, caj di plaza tol tersebut dikenakan setelah pihaknya memberikan caj percuma selama 42 hari kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga ke Assam Jawa, Kuala Selangor.
“Kutipan tol Lebuhraya WCE adalah secara elektronik sepenuhnya. Jadi, kami menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch n Go anda mencukupi.
“Sila pastikan anda menggunakan lorong pembayaran yang betul. Orang ramai boleh memuat turun aplikasi WCE App untuk maklumat lebih lanjut,” kata syarikat berkenaan.
Menurut WCE Berhad, kadar tol untuk setiap kelas kenderaan adalah berdasarkan kadar tol yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). – UTUSAN