SHAH ALAM: Caj minimum tarif air baharu bagi pengguna domestik di Selangor ditetapkan kenaikan sebanyak 50 sen berkuatkuasa pada 1 Februari depan.
Semua tarif caj minimum lain bergantung kepada kategori kediaman dan kapasiti penggunaan meter padu (m3) air masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dilakukan menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ia pelarasan tarif air pertama sejak 18 tahun lalu iaitu pada 2006.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) namun akan mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kesan pelarasan kepada rakyat.
“Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar negara yang menyalurkan air bersih kepada lebih lapan juta rakyat meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik dan bukan domestik,” katanya petang ini.
Jelas beliau, caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50.
“Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 m3, kadar caj bagi setiap meter akan beralih lapan sen iaitu kepada 65 sen iaitu meningkat maksima sekitar RM1.60 sebulan.
“Caj bagi penggunaan 20 hingga 35 meter padu pula daripada 29 sen kepada RM1.32 bagi setiap meter dan ia maksimum sebanyak RM5.95 sebulan,” ujarnya.
Beliau menambah, penggunaan air melebihi 35 m3 pula RM2.63 bagi setiap meter berbanding kadar lama iaitu RM2.
“Bagi kategori kondominium, caj minimum secara pukal kekal RM173 sebulan dan caj baharu 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter.
“Kadar bagi estet dan kuarters kerajaan pula meningkat 68 sen kepada RM1.68, dan caj minima adalah RM16.80 sebulan berbanding RM12 sebelum ini,” jelasnya.
Namun, kadar bagi kategori rumah kos rendah adalah 98 sen iaitu paling rendah dan peningkatan paling kecil bagi semua kategori kediaman iaitu sebanyak 18 sen bagi setiap meter.
Dalam pada itu, tambah Amirudin, kategori perusahaan komersial dan bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 m3 manakala penggunaan lebih daripada 35 m3 dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter.
“Rumah ibadah dan institusi kebajikan pula diberinkelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah iaitu peningkatan enam sen kepada 66 sen. Selain itu, bagi kategori kapal, kadar baharu akan beralih dari RM7 kepada RM7.08,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan Negeri berpendirian bahawa pelarasan itu akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor mengelak isu paip bocor dan paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang bermula tahun ini.
“Pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang 2030, termasuk melipatgandakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah.
“Selain itu, tahap kualiti air dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM) dengan penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air,” katanya.
Dengan mengambil kira peningkatan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyerap dan tanggung peningkatan kos bagi lebih sejuta rakyat yang meliputi 285,673 akaun yang merupakan penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).
“Secara keseluruhan, tanggungan kos melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan berjumlah RM40 juta setahun.
“Kerajaan Negeri turut membuka peluang kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000 ke bawah memohon untuk air percuma dengan melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN