Cadangan sediakan rumah pelacuran hanya galakkan maksiat - Utusan Malaysia

Cadangan sediakan rumah pelacuran hanya galakkan maksiat

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Cadangan pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor supaya disediakan rumah pelacuran untuk pekerja warga asing seolah-olah menggalakkan maksiat di negara ini.

Sambil melahirkan rasa terkejut, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, ramai dalam kalangan pekerja asing di negara ini juga terdiri daripada mereka yang beragama Islam.

“Kita yakin semua masyarakat Islam tahu zina adalah satu jenayah yang amat jelik kerana boleh mengakibatkan kerosakan yang besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Malah, pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan yang hina itu.

“Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini,” katanya di sini hari ini.

Rosyam sebelum ini meraih perhatian umum dan dibidas banyak pihak selepas didakwa mengemukakan cadangan supaya rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini.

Menurut pelakon senior tersebut seperti dilaporkan media, pandangan itu dibuat berdasarkan jumlah pekerja dan pendatang asing yang dilihat semakin membanjiri Malaysia sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, semua pihak sepatutnya bersama-sama membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti setiap penduduk di negara ini.

”Kita juga sepatutnya mengingatkan  pekerja-pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri di dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, mewujudkan rumah pelacuran di negara ini juga amat bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaannya.

“Para pekerja asing perlu dimaklumkan tentang hakikat ini dan mereka mestilah menghormati Perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiada siapa boleh menjamin rakyat negara ini termasuk penganut agama Islam tidak akan menjadi pelanggan rumah pelacuran yang dicadangkan terbabit.

“Amat sukar untuk mengawal atau mencegah umat Islam daripada ikut terlibat di dalam kancah maksiat tersebut.

”Kita setuju cadangan ini tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan mengundang lebih banyak masalah kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya