PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mahu menambah peruntukan di bawah Skim Program Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) TEKUN Nasional sebanyak RM30 juta, seiring dengan cabaran semasa.
Timbalan Menterinya, Datuk R. Ramanan berkata, cadangan yang dikemukakan kepada Menterinya, Datuk Ewon Benedick itu dipersetujui dan beliau berjanji membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya faham ramai usahawan memerlukan sokongan dan bantuan. Kita akan cuba bantu yang terbaik,” katanya di Facebook.
Pada masa sama, Ramanan berkata, Ewon juga meminta beliau melihat pelbagai keperluan lain yang boleh memberi manfaat kepada kaum India.
Katanya, ia khususnya di SME Corp, Suruhanjaya Koperasi dan agensi-agensi lain dibawah kementerian.
“Pertemuan ini merupakan komitmen untuk bekerjasama dengan penuh sinergi, dengan tekad memaksimumkan fungsi dan peranan kementerian demi memajukan sektor usahawan dan koperasi.
“Ia juga mencerminkan semangat kolaboratif yang akan menjadi pendorong utama bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan negara.
“Semoga tugas ini menjadi wadah kekuatan dan tunjang baharu dalam menggerakkan KUSKOP untuk terus berbakti kepada masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN