Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 tawar hadiah RM1.3 juta

Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 tawar hadiah RM1.3 juta

Pemenang hadiah utama, kedua dan ketiga Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 kategori Cabutan Tahunan bergambar bersama Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan kempen Cabutan WOW! Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2024 bagi edisi tahun ini dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.3 juta untuk dimenangi oleh 983 pemenang.

Kempen dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2024 itu, menawarkan lima Cabutan Siri dan satu Cabutan Tahunan yang diadakan dengan tema-tema tertentu termasuklah perayaan dan sambutan kemerdekaaan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, berbeza dengan tahun lepas, buat julung kalinya, Cabutan Siri WOW! Kasih diperkenalkan bagi menghargai insan-insan bermakna dalam kehidupan seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru.

“Kategori cabutan siri melibatkan WOW! Gong Xi Ang Pow yang bermula 1 Januari sehingga 29 Februari, diteruskan dengan WOW! Syoknya Raya pada 1 Mac 2024 sehingga 30 April 2024.

“Kemudian WOW! Kasih yang bermula pada 1 Mei sehingga 30 Jun 2024, Untuk kempen WOW! Merdeka bermula 1 Julai sehingga 31 Ogos 2024 diikuti dengan WOW! Superheroes bermula 1 September sehingga 31 Oktober,” katanya pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 di Damansara dekat sini kelmarin.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Norliza Abdul Rahim dan Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama hadiah dan motosikal yang ditawarkan untuk pemenang utama Cabutan Tahunan Kategori Platinum, Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024. – UTUSAN/Saddam Yusoff

Katanya, Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 lebih menarik kali ini kerana membawa kelainan dengan menampilkan tiga kategori iaitu Silver, Gold dan Platinum bagi Cabutan Tahunan.

“Hadiah utama Kategori Silver adalah kereta Proton S70 Flagship X, pemenang Kategori Gold akan menerima kereta Proton X50 Flagship dan Kategori Platinum akan membawa pulang kereta Proton X90 Flagship,” jelasnya.

Untuk hadiah kedua Kategori Silver akan menerima Motosikal Yamaha NVX 155cc, Kategori Gold akan membawa pulang Motosikal Yamaha XMAX 250cc dan Motosikal Yamaha MT09 akan menjadi hadiah bagi pemenang Kategori Platinum.

Pemenang tempat ketiga pula akan menerima wang tunai bernilai RM10,000 bagi Kategori Silver, RM20,000 Kategori Gold dan RM30,000 untuk Kategori Platinum.

Hadiah utama bagi Kategori Cabutan Siri pula adalah berupa wang tunai bernilai RM10,000 untuk seorang pemenang setiap siri dan wang tunai bernilai RM500 menanti 180 pemenang saguhati bagi setiap siri.

Untuk menyertai kempen ini pendeposit, hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

“Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, kempen itu juga memberi kelebihan kepada pengguna aplikasi myPTPTN yang membolehkan mereka mendapat bilangan cabutan berganda.

“Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima cabutan, manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau potongan gaji dan debit terus, akan mendapat sepuluh cabutan,” katanya.

Menurut beliau, kempen itu dilakukan bagi menarik minat di samping memupuk sifat untuk menabung dengan menawarkan sedikit insentif.

“Semoga Simpan SSPN sentiasa dekat dalam hati sanubari masyarakat Malaysia dan menjadi pilihan utama sebagai tabung pendidikan yang dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk melihat anak-anak berjaya ke puncak menara gading,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW Simpan SSPN 2023 Kategori Cabutan Tahunan yang telah berakhir pada 31 Disember 2023 lalu.

Dalam majlis tersebut, pemenang utama telah menerima wang tunai bernilai RM150,000, tempat kedua RM50,000 dan pemenang tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM10,000.

Selain daripada itu, PTPTN berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Kempen Cabutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 berupa wang tunai bernilai RM10,000 dan dua orang pemenang saguhati masing-masing menerima RM1,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN