Buruh, bapa tiri kes rogol diperintah jalani pemeriksaan psikiatri - Utusan Malaysia

Buruh, bapa tiri kes rogol diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

BURUH (kanan) dan bapa tiri mangsa rogol diarah menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN Mahkamah Sesyen hari ini, memerintahkan seorang buruh yang disyaki merogol kanak-kanak berusia 16 tahun dan bapa tiri mangsa, menjalani pemeriksaan psikiatri.

Perintah itu dibuat Hakim Wan Suhaila Mohd selepas mendapat permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali berikutan kedua-dua lelaki yang dituduh secara berasingan itu, disyaki tidak sempurna akal dan tidak dapat memahami pertuduhan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, ketika jurubahasa meminta tertuduh menyebut nama dan nombor kad pengenalannya, tertuduh berusia 18 tahun itu tidak dapat menyebut nama penuhnya dengan tepat selain tertuduh tidak mengetahui nombor kad pengenalan serta tarikh lahirnya.

Tertuduh juga dilihat seolah-olah tidak memahami tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak itu pada 13 Januari hingga 15 Januari lalu, di sebuah rumah di daerah ini, pada waktu yang berbeza dan lokasi sama mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa tiri mangsa yang berusia 32 tahun didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) kanun yang sama kerana bersubahat menyebabkan buruh itu melakukan perbuatan rogol terhadap kanak-kanak itu pada 13 Januari lalu, kira-kira pukul 2 pagi.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh juga dilihat tidak dapat memahami pertuduhan sebenar yang disabitkan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan pendakwaan selepas menerima laporan daripada hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya