Bunuh sebab gambar bogel

Bunuh sebab gambar bogel

SEBAHAGIAN tertuduh dalam kes bunuh pengawal keselamatan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi menghadapi pertuduhan. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Rasa tidak puas hati berhubung penyebaran gambar bogel rakan suspek merupakan motif pembunuhan seorang pengawal keselamatan yang mayatnya ditemui di belakang sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang dekat sini, bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad.

Sehubungan itu, lima individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh mangsa berkenaan.

Mereka ialah G. Ganong Segaran, 34, dan adik perempuannya G. Malani. Tiga lagi tertuduh ialah S. Devi, 30, P. Saravanan, 31, dan P. K. Vikinesvaran, 20.

Bagaimanapun, tiada pe­ngakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, me­reka didakwa membunuh S. Ashok, 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh antara pukul 8 pagi dan 3.30 petang, 23 Disember 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kelima-lima tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan tarikh 4 Mac ini ditetapkan bagi sebutan kes.

Sementara itu dalam mah­kamah sama, Ganong Segaran dan seorang lagi adik lelakinya, G. Dandem Bain, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan lain iaitu melupuskan keterangan berkaitan penanaman mayat Ashok.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat dan tarikh sama antara pukul 3.30 petang hingga 8 malam dengan niat untuk mengelak pesalah-pesalah terlibat daripada dihukum.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian hanya membenarkan Dandem Bain diikat jamin RM5,000 dan mene­tapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN