BERCAKAP tentang kehadiran pendatang baharu dalam dunia muzik itu perkara biasa. Persaingan yang hadir saban minggu tatkala ada sahaja artis baharu meluncurkan single pertama mereka juga sudah biasa.
Mahu tak mahu, hati kena kental. Perjuangan baru bermula, masakan sudah ada tarikh akhirnya. Lantas apakah strategi terbaik memenangi hati? Jika gagal buat kali pertama, adakah itu bermakna yang terakhir?
Maaf, kegagalan bukan penamat untuk pendatang baharu, Arghpiez. Baginya, perjuangan seni menerusi single pertama, Setiap Malam baru sahaja bermula. Dia perlu bersabar dan percaya, rezeki itu sudah tertulis untuknya.
“Memang persaingan itu sentiasa ada. Tipulah kalau saya tak gementar dan ragu-ragu pada awalnya. Yalah, untuk bersaing dengan rakan budak-budak baru nak up (BBNU) lain serta penyanyi sedia ada, bukan mudah kan.
“Tetapi saya percaya, pemilihan lagu dan pembawaan diri dalam industri seni adalah antara kunci untuk menambat hati peminat. Tetapi semua itu juga berbalik kepada rezeki. Semuanya sudah diatur oleh-NYA,” ujarnya.
Bercakap tentang Setiap Malam, lagu ciptaan Shuemerrin dan lirik oleh dia sendiri itu bererita tentang seseorang yang mahu keluar daripada zon selesa dan mencari peluang memilih yang terbaik untuk diri sendiri.
Lantas ujar Arghpiez, lagu itu juga mencerminkan perjuangannya yang tidak mahu hanya selesa dengan pencapaian yang ada dan mahu terus berusaha untuk mengembangkan bakat dalam dunia muzik hip hop khususnya.
“Mungkin bunyi cliche, tetapi saya memang betul-betul mahu mempamerkan bakat dalam bidang muzik. Tidak hanya sebagai penyanyi dan penulis lirik, mungkin satu hari nanti sebagai komposer pula.
“Saya tidak mahu kontroversi sebagai jalan senang untuk berjaya. Mudah nama naik, mudah juga popular itu menjunam jika tersilap langkah. Apa yang tinggal nanti adalah persoalan tentang bakat.
“Jadi saya perlu buktikan bakat yang ada terlebih dahulu. Beri ruang untuk orang nilai. Baik dan buruk, saya terima dengan hati terbuka. Jangan mudah ambil hati kecuali kritikan itu berbentuk menjatuhkan,” katanya.
BANGKU SEKOLAH
Mula menunjukkan minat dalam bidang nyanyian dari bangku sekolah lagi, anak muda berusia 21 tahun ini sering melibatkan diri dalam persembahan dan mendapat perhatian daripada syarikat rakaman, Leo Music Empire.
Lantas penceritaan karier seninya bermula secara mainstream. Sebelum ini, anak kelahiran Selongor ini juga pernah menghasilkan lagu bersama rakan-rakannya namun hanya secara underground.
“Sebagai pendatang baharu, semestinya media sosial adala platfrom terbaik untuk memperkenalkan nama kita kepada peminat. Baik di Instagram, TikTok dan Bigo, semua itu membantu saya untuk mempromosikan Setiap Malam.
“Kalau cakap pasal minat muzik, memang dari kecil sebenarnya saya suka menyanyi. Dulu selalu masuk pertandingan nyanyian, sertai persembahan di sekolah. Keluarga dan rakan-rakan pun memang menyokong.
“Bermula dari situ, saya beranikan diri dan ditawarkan untuk menghasilkan single pertama di bawah Leo Music Empire. Kak Shuemerrin adalah orang yang menjadikan saya lebih berani untuk mencuba,” katanya.