KUALA SELANGOR: Seorang pengusaha bubu naga nekad membuang lima guni peralatan haram itu ke dalam parit selepas gudangnya di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini, diserbu petang semalam.
Lelaki berusia 51 tahun itu bertindak demikian kerana dipercayai cuma mengelak dikesan oleh pihak berkuasa apabila kegiatannya selama empat tahun berkenaan berjaya dihidu Jabatan Perikanan Selangor.
Perkara itu dikesan jabatan berkenaan yang menjalankan operasi khas bersama polis di gudang yang dijadikan tempat simpanan bubu tersebut, kira-kira pukul 3 petang.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, pengusaha itu pada mulanya mengambil bungkusan guni bubu yang dirampas pihaknya.
“Dia kemudian memindahkannya ke dalam kereta sebelum membuang ke dalam parit berhadapan premis itu.
Lelaki itu didapati menghilangkan diri dan anggota penguatkuasa mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan bungkusan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, Perikanan Selangor merampas sebanyak 2,000 bubu naga yang dianggarkan bernilai RM70,200.
“Gudang itu turut menempatkan rumah pekerja yang diupah bagi menjahit bubu yang rosak. Pengusaha bubu naga itu dipercayai meraih pendapatan mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari,” ujarnya.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang belat, peralatan menangkap ikan atau peranti tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.
“Semua rampasan itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor bagi tindakan lanjut. Dalam operasi selama tiga jam itu, kita turut merampas 750 unit bubu bernilai RM22,500 dalam serbuan berasingan di Jeti Bagan Tengkorak,” jelasnya. – UTUSAN