Bomba ambil 11 sampel di lokasi kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas - Utusan Malaysia

Bomba ambil 11 sampel di lokasi kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas

KEADAAN kereta Ngeh Koo Ham yang terbakar dipercayai akibat dibaling bom petrol di kediamannya di Ayer Tawar dekat Beruas hari ini. - UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak mengambil 11 sampel di lokasi kebakaran yang berlaku di kediaman Datuk Ngeh Koo Ham, awal pagi tadi, untuk siasatan lanjut.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, semua sampel itu dibawa ke makmal jabatan itu untuk dianalisis bagi tindakan selanjutnya.

“Kami telah melaksanakan proses forensik kebakaran di lokasi tempat kejadian diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba II Mohamed Habib Mohamed Dali.

“Siasatan yang dijalankan turut dibantu oleh Unit K9 JBPM,” katanya di sini hari ini.

Awal pagi ini, sebuah kereta milik Koo Ham musnah manakala dua lagi rosak dalam kebakaran di garaj kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Ayer Tawar, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar ialah siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, kemudian mengesahkan ia sebagai perbuatan khianat berikutan penemuan satu botol disyaki ‘molotov cocktail’ di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan akan disiasat secara terperinci daripada pelbagai sudut.

Menurutnya, usaha mengesan individu yang terlibat masih diteruskan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya