BESUT: Seorang penternak ikan mengambil inisiatif membina telaga tiub untuk membantu penduduk di Kampung Air Tawar di sini mendapatkan bekalan air selepas terputus bekalan sejak 1 Januari lallu.
Fadzil Zabidee Zakaria, 51, berkata, idea untuk membina telaga tiub itu tercetus apabila melihat sistem saliran yang digunakan di tangki ikannya di Kampung Air Tawar, Besut.
“Saya terfikir kenapa tidak mencuba menggunakan sumber air bawah tanah untuk membantu penduduk yang terjejas dan pernah mengutarakan pandangan tersebut kepada pihak terlibat tetapi dipandang sepi.
“Oleh sebab itu saya mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM2,500 untuk merealisasikan idea itu dan telah berjaya dilaksanakan sejak Selasa lalu,”
katanya ketika ditemui di Kampung Air Tawar, di sini, hari ini.
Pada 1 Januari lalu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memberitahu, gangguan bekalan air berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di sini, berpunca daripada kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu, dekat sini.
Kebocoran paip bersaiz 600mm itu telah mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Januari, sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.
Fadzil Zabidee menambah, tindakannya itu mendapat sokongan daripada kawan-kawan rapat dan mereka dengan sukarela tampil membantu kerj-kerja membina telaga tiup itu.
Katanya lagi, bagi memudahkan proses mengisian air yang diboring, dia menggunakan paip pvc yang telah diubah suai dari pam air ke tangki-tangki kecil untuk diagihkan kepada orang ramai.
“Alhamdulillah sumber air dari hasil boring ini cukup bersih dan tiada campuran air masin walaupun terletak di kawasan pantai,” ujarnya.
Fadzil Zabidee berkata, dia dan rakan-rakan juga membantu menyalurkan bekalan air yang dibawa menggunakan lori diisi terus ke tangki rumah terlibat.
Tambahnya, inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap tangki statik yang disediakan oleh SATU. – UTUSAN