Bina bilik rahsia elak dicekup, 117 GRO warga asing diberkas - Utusan Malaysia

Bina bilik rahsia elak dicekup, 117 GRO warga asing diberkas

WARGA asing yang ditangkap dalam serbuan di dua pusat pelacuran dan tiga pusat hiburan di sekitar Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik tiga buah pusat hiburan jenis karaoke TV (KTV) di bandar raya ini membina bilik khas sebagai tempat persembunyian gadis pelayan pelanggan (GRO), terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, premis berkenaan juga dikesan menyediakan laluan keluar dan masuk selain pintu masuk utama kepada pelanggan dan pelayan warga asing sekiranya pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, serbuan terhadap ketiga-tiga pusat hiburan itu dijalankan hasil risikan selama sebulan.

“Modus operandi sindiket di tiga pusat hiburan ini adalah menyasarkan pelanggan tetap dengan membuat tempatan melalui telefon.

“Bagi tempahan bilik, pelanggan dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM10,000 mengikut kategori bilik manakala kadar bayaran bagi GRO warga asing pula sebanyak RM150 sejam.

“Sindiket ini telah beroperasi selama setahun dan mengaut keuntungan bulanan sebanyak RM24,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi sama, pihaknya turut menumpaskan sindiket pelacuran ‘outcall girl’ selepas menyerbu dua pusat pelacuran di sekitar Ipoh.

Katanya, sindiket berkenaan melakukan promosi wanita warga asing melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp.

“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis itu adalah antara RM200 hingga RM500 dan bayaran untuk outcall girl pula RM800 hingga RM1,000. Transaksi bayaran adalah secara tunai atau dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, serbuan di lima premis berkenaan membawa kepada tangkapan 117 wanita warga asing terdiri daripada 52 orang warga China, Vietnam (41), Thailand (21), Indonesia (2) dan seorang warga Laos.

Ujar beliau, tangkapan turut dijalankan terhadap 14 lelaki warga asing selain tujuh lelaki dan tiga wanita tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis. Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Berdasarkan semakan, seramai 57 wanita warga asing dan seorang lelaki yang ditahan itu memiliki pas lawatan sosial, pas khas, pas lawatan kerja sementara dan pas penggajian yang masih sah.

“Dalam operasi itu, kita merampas beberapa barang termasuk sejumlah kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis, peralatan seks, wang tunai RM14,155, 12 unit telefon bimbit, tuala dan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Menurut beliau, kesemua warga asing itu ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala 10 orang warga tempatan itu pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya